Popular Posts

Sunday 27 September 2015

Biografi Salahuddin Al-Ayyubi

Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurd biasa. Pendidikannya 
juga seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan dan 
mempertahankan diri. Tiada seorangpun yang menyangka sebelum ia menguasai Mesir 
dan menentang tentera Salib bahawa anak Kurd ini suatu hari nanti akan merampas 
kembali Palestin dan menjadi pembela akidah Islamiah yang hebat. Dan tiada 
siapa yang  menyangka pencapaiannya demikian hebat sehingga menjadi contoh dan 
perangsang memerangi kekufuranhingga ke hari ini.
 
Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai 
anak seorang governor yang memilliki kelebihan daripada orang lain tetapi tidak 
menunjukkan satupun tanda-tanda ia akan menjadi  orang hebat pada masa depan. 
Akan tetapi ia menunjukkan akhlak yang mulia.
 
Walau bagaimanapun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar 
pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya untuk 
menjadi pemimpin agung itu. Ketika ia menjadi tentera Al-Malik Nuruddin, sultan 
Aleppo, ia diperintahkan untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah 
oleh sebuah kerajaan Syi'ah yang tidak bernaung di bawah khalifah. Bahauddin 
bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis bahawa Salahuddin sangat 
berat dan memaksa diri untuk pergi ke Mesir bagaikan orang yang hendak di bawa 
ke tempat  pembunuhan (Bahauddin, 1234). 
 
Tetapi itulah sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan firman Allah, "Boleh jadi 
kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu 
menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu" (Al-Baqarah:216).
 
Pertukaran Hidup Salahuddin al Ayubi
 
Ketika Salahuddin menguasai Mesir, ia tiba-tiba berubah. Ia yakin bahawa Allah 
telah mempertanggung jawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang tak 
mungkin dapat dilaksanakan jika ia tidak  bersungguh-sungguh. Bahauddin telah 
menuliskan dalam catatannya bahwa Salahuddin sebaik-baik sahaja ia menjadi 
pemerintah Mesir. Dunia dan kesenangannya  telah lenyap dari pandangan matanya. 
Dengan hati yang rendah dan syukur kepada Allah ia telah menolak godaan-godaan 
dunia dan segala kesenangannya (Bahauddin,1234). 
 
Bahkan Stanley Lane Poole(1914) telah menuliskan bahwa Salahuddin mengubah cara 
hidupnya kepada yang lebih keras. Ia bertambah wara' dan menjalani hidup yang 
lebih berdisiplin dan sederhana. Ia mengenepikan  corak hidup senang dan 
memilih corak hidup "Spartan" yang menjadi contoh kepada tenteranya. Ia 
menumpukan seluruh tenaganya untuk satu tujuan yaitu untuk membina kekuasaan  
Islam yang cukup kuat untuk menghalau orang kafir dari tanah air Islam. 
 
Salahuddin pernah berkata, "Ketika Allah menganugerah kan aku bumi Mesir, aku 
yakin Dia juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan ia memenangkan 
perjuangan Islam. Sehubungan dengan ia telah menyerahkan dirinya untuk jalan 
jihad. 
 
Semangat Jihadnya 
 
Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin 
telah mencatatkan bahwa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk berjihad 
menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang 
paling digemarinya. Ia sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat 
pasukan tenteranya, mencari  mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad. 
 
Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad ia akan memberikan 
sepenuh perhatian.  Sehubungan dengan ini ia lebih banyak di dalam khemah 
perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang 
menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya. Siapa sahaja yang 
memerhatikannya akan dapat melihat apabila ia  telah memulakan jihat melawan 
tentera salib ia akan menumpahkan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang 
dan menaikkan semangat tenteranya. 
 
Dalam medan peperangan ia bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan anak 
tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Ia akan bergerak dari satu hujung 
medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan  tenteranya supaya 
benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata. Ia juga akan pergi ke seluruh 
pelosok tanah air dengan mata yang berlinang mengajak manusia supaya bangkit 
membela Islam.
 
Ketika ia mengepung Acre ia hanya minum, itupun selepas dipaksa oleh doktor 
peribadinya tanpa makan. Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya makan 
beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat hingga senin kerena ia tidak mahu 
perhatiannya kepada peperangan terganggu. (Bahauddin, 1234).
 
Peperangan Hittin 
 
Satu siri peperangan yang sengit telah berlaku antara tentera Salahuddin dengan 
tentera Salib di kawasan Tiberias di kaki bukit Hittin. Akhirnya pada 24 
Rabiul-Akhir, 583 H, tentera Salib telah kalah. Dalam peperangan ini Raja 
Kristian yang memerintah Palestin telah dapat di tawan beserta adiknya Reginald 
dari Chatillon. Pembesar-pembesar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari 
Courtenay, Humphrey dari Toron  dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai 
juga tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole 
menceritakan bahwa dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang 
tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah. 
 
Mayat-mayat tentera Kristian bertimbun-timbun seperti batu di atas batu di 
antara salib-salib yang patah, potongan tangan dan kaki dan kepala-kepala 
manusia berguling seperti buah tembikai. Dianggarkan 30,000 tentera Kristian 
telah mati dalam peperangan ini. Setahun selepas peperangan, timbunan tulang 
dapat dilihat memutih dari jauh. 
 
Kecintaan Salahuddin kepada Islam 
 
Peperangan Hittin telah menyerlahkan kecintaan Salahuddin kepada Islam. Stanley 
Lane-Poole menulis bahawa Salahuddin berkhemah di medan peperangan semasa 
peperanggan Hittin. Pada satu ketika setelah  khemahnya didirikan 
diperintahkannya tawanan perang dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah Raja 
Palestin dan Reginald dari Chatillon masuk ke khemahnya.  Dipersilakan sang 
Raja duduk di dekatnya. 
 
Kemudian ia bangun pergi ke hadapan Reginald lalu berkata, "Dua kali aku telah 
bersumpah untuk membunuhnya. Pertama ketika ia bersumpah akan melanggar dua 
kota suci dan kedua ketika ia menyerang jamaah haji. Ketahuilah aku akan 
menuntut bela Muhammad saw atasnya". Lalu ia menghunuskan pedangnya dan 
memenggal kepala Reginald. Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh pengawal dari 
khemah. 
 
Raja Palestin apabila melihat adiknya dipancung, ia mengeletar kerana menyangka 
gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan mengapa-apakannya 
sambil berkata, "Bukanlah kelaziman seorang raja membunuh raja yang lain, 
tetapi orang itu telah melanggar segala batas-batas, jadi terjadilah apa yang 
telah terjadi". 
 
Tindakan Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban Reginald kepada Islam dan Nabi 
Muhammad saw. Bahauddin bin Shaddad, penasihat kepercayaan  Salahuddin 
mencatatkan bila jamaah haji dari Palestin diserang dicederakan tanpa belas 
kasihan oleh Reginald, di antara tawanannya merayu supaya mereka dikasihani. 
Tetapi Reginald dengan angkuhnya mengatakan, "Mintalah kepada Nabi kamu, 
Muhammad, untuk menyelematkan kamu". Ketika ia mendengar berita ini ia telah 
berjanji akan membunuh Reginald dengan  tangannya sendiri apabila ia dapat 
menangkapnya. 
 
Menawan Baitul Muqaddis 
 
Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk 
menawan Baitul Muqaddis. Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin 
sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis hinggakan bukitpun akan 
mengecut dari bebanan yang dibawa di dalam hatinya. Pada hari jumaat, 27 Rajab, 
583H, iaitu pada hari Isra' Mi'raj,  Salahuddin telah memasuki banda suci 
tempat Rasulullah saw. naik ke langit. 
 
Dalam catatan Bahauddin ia menyatakan inilah kemengan atas kemengang. Ramai 
orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa 
datang merayakan gembira kemenangan ini. Kemudiannya  ramai lagi orang datang 
dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk 
mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh  dikatakan hampir semua 
pembesar-pembesar datang. Laungan "Allahhu Akbar" dan "Tiada tuhan melainkan 
Allah" telah memenuhi langit. 
 
Selepas 90 tahun kini sembahyang Jumaat telah diadakan semula di Baitul 
Muqaddid. Salib yang terpampang di 'Dome of Rock' telah diturunkan. Betapa  
hebatnya peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah sahaja yang tahu 
betapa hebatnya hari itu. 
 
Salahuddin yang Penyayang 
 
Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat jauh 
berbeda daripada kekejaman musuh Kristiannya. Ahli sejarah Kristian pun 
mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan  hati Salahuddin telah 
mencegahnya daripada membalas dendam. Ia telah menuliskan yang Salahuddin telah 
menunjukkan ketiggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah. 
Tenteranya sangat bertanggung jawab, menjaga peraturan di setiap jalan, 
mencegah segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang 
Kristian diperlakukan tidak baik. Semua jalan keluar-masuk ke Baitul Muqaddis 
di tangannya dan seorang yang amanah telah dilantik di pintu Nabi Daud untuk 
menerima wang tebusan daripada orang-orang Kristian yang ditawan. Lane-Poole 
juga telah menuliskan bahawa Salahuddin telah mengatakan kepada pegawainya, 
"Adikku telah membuat infak, Padri besar pun telah benderma. Sekarang giliranku 
pula". Lalu ia memerintahkan pegawainya mewartakan di jalan-jalan Jerusalem 
bahawa sesiapa yang tidak mampu  membayar tebusan boleh dibebaskan. Maka 
berbondong-bondonglah orang keluar dari pintu St. Lazarus dari pagi hingga ke 
malam. Ini merupakan sedekah Salahuddin kepada orang miskin tanpa menghitung 
bilangan mereka.  Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula 
tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada 
tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred  
menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu 'tersumbat' dengan 
mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar dan 
dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara rumah-rumah ibadah. Darah 
yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan orang-orang Islam secara 
beramai-ramai telah mencermarkan kesucian gereja di mana sebelumnya kasih 
sayang sentiasa diajarkan. Maka sangat bernasip baik orang-orang Kristian 
apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin. 
 
Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang 
diketahui mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah seorang 
penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin di 
sepanjang zaman. 
 
Perang Salib Ketiga 
 
Perang Salib pertama ialah kejatuhan Palestin kepada orang-orang Kristian pada 
tahun 1099 (490H) manakala yang kedua telah dimenangi oleh Salahuddin dalam 
peperangan Hittin pada tahun 583H (1187M) di mana  beberapa hari kemudian ia 
telah menawan Baitul Muqaddis tanpa perlawanan. Kekalahan tentera Kristian ini 
telah menggegarkan seluruh dunia Kristian. Maka bantuan dari Eropah telah 
dicurahkan ke bumi Palestin. Hampir semua raja dan panglima perang dari dunia 
Kristian seperti Fredrick Barbossa raja Jerman, Richard The Lion raja England, 
Philips Augustus raja Perancis, Leopold dari Austria, Duke of Burgundy dan 
Count of Flanders telah bersekutu menyerang Salahuddin yang hanya dibantu oleh 
beberapa pembesar nya dan saudara maranya serta tentaranya untuk mempertahankan 
kehormatan Islam. Berkat pertolongan Allah mereka tidak dapat dikalahkan oleh 
tentera bersekutu yang besar itu. 
 
Peperangan ini berlanjutan selama 5 tahun hingga menyebabkan kedua belah pihak 
menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk memuat 
perjanjian di Ramla pada tahun 588H. Perjanjian ini  mengakui Salahuddin adalah 
pengusa Palestin seluruhnya kecuali bandar Acra diletakkan di bawah 
pemerintahan Kristian. Maka berakhirlah peperangan  Salib ketiga. 
 
Lane-Poole telah mencatatkan perjanjian ini sebagai berakhirnya Perang Suci 
yang telah berlajutan selama 5 tahun. Sebelum kemenangan besar Hittin pada 
bulan Julai, 1187 M, tiada satu inci pun tanah Palestin di  dalam tangan 
orang-orang Islam. Selepas Perjanjian Ramla pada bulan September, 1192 M, 
keseluruhanya menjadi milik mereka kecuali satu jalur kecil dari Tyre ke Jaffa. 
Salahuddin tidak ada rasa malu apapun dengan perjanjian ini walaupun sebahagian 
kecil tanah Palestin masih di tangan orang-orang Kristian. 
 
Atas seruan Pope, seluruh dunia Kristian telah  mengangkat senjata. Raja 
England, Perancis, Sicily dan Austria serta Duke of Burgundy, Count of Flanders 
dan beratus-ratus lagi pembesar-pembesar telah bersekutu membantu Raja dan 
Putra Mahkota Palestin untuk mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada 
pemerintahan Kristian. Walau bagaimanapun ada raja yang mati dan ada yang balik 
dan sebahagian pembesar-pembesar Kristian telah terkubur di Tanah Suci itu, 
tetapi Tanah Suci itu masih di dalam tangan Salahuddin. 
 
Selanjutnya Lane-Poole mencatatkan, seluruh kekuatan dunia Kritian yang telah 
ditumpukan dalam peperangan Salib ketiga tidak mengoyangkan kekuatan 
Salahuddin. Tenteranya mungkin telah jemu dengan peperangan yang menyusahkan 
itu tetapi mereka tidak pernah undur apabila diseru untuk menjualkan jiwa raga 
mereka di jalan Tuhan. Tenteranya yang berada jauh di lembah Tigirs di Iraq 
mengeluh dengan tugas yang tidak  henti-henti, tetapi ketaatan meraka yang 
tidak pernah berbelah bagi. 
 
Bahkan dalam peperangan Arsuf, tenteranya dari Mosil (sebuah tempat di Iraq) 
telah menunjukkan ketangkasan yang hebat. Dalam peperangan ini, Salahuddin 
memang boleh memberikan kepercayaan kepada tentra-tenteranya dari Mesir, 
Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan bahkan orang-orang Islam 
dari mana-mana sahaja. Walaupun mereka berlainan bangsa dan  kaum tetapi 
Salahuddin telah dapat menyatukan mereka di atas jalan Tuhan dari pada mula 
peperangan pada tahun 1187 hinggalah berakhirnya pada tahun 1192. 
 
Lane-Poole juga menuliskan dalam peperangan ini Salahuddin sentiasa syura. Ia 
mempunyai majlis syura (musyawarah) yang membuat keputusan-keputusan 
ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. 
Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa yang 
lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam majlis itu 
ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya, 
pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan  setiausaha. Semuanya mempunyai 
sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya semuanya 
menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan 
perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada 
Salahuddin. 
 
Wafatnya Salahuddin 
 
Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah selepas 
berhempas pulas mengembalikan tanah air Islam pada usia 57 tahun. Bahauddin bin 
Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis  mengenai hari-hari terakhir 
Salahuddin. Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas ia jatuh sakit, ia telah 
menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Ja'afar seorang yang wara' telah diminta 
menemani Salahuddin di Istana supaya jika ia nazak, bacaan Qur'an dan syahadah 
boleh diperdengarkan kepadanya. 
 
Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. 
Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas 
membacakan Qur'an. Dalam masa ini Salahuddin selalu pingsan dan sedar sebentar. 
Apabila Syeikh Au Jaafar membacakan ayat, "Dialah Allah, tiada tuhan melainkan 
Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata" (Al-Hasyr: 22), Salahuddin 
membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira ia 
berkata, "Memang benar". Selepas ia mengucapkan kata-kata itu rohnya pun 
kembali ke rahmatullah. Masa  ini ialah sebelum subuh, 27 Safar. 
 
Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali 
satu dinar dan 47 dirham ketika ia wafat. Tiada rumah-rumah, barang-barang, 
tanah, kebun dan harta-harta lain yang ditinggalkannya. Bahkan harta yang 
ditinggalkannya tidak cukup untuk ongkos pengkebumiannya. Keluarganya terpaksa 
meminjam wang untuk menanggung ongkos pengkebumian ini. Bahkan kain kafan pun 
diberikan oleh seorang menterinya.
 
Salahuddin yang Wara' 
 
Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan berkenaan 
kewarakan Salahuddin. Satu hari ia berkata bahawa ia telah lama tidak pergi 
sembahyang berjemaah. Ia memang suka sembahyang  berjemaah, bahkan ketika 
sakitnya ia akan memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Disebabkan 
sembahyang adalah ibadah utama yang diasaskan oleh  Rasulullah saw, ia sentiasa 
mengerjakan sembahyang sunnat malam. Jika disebabkan hal tertentu ia tidak 
dapat sembahyang mala, ia akan menunaikannya ketika hampir subuh. Bahauddin 
melihatnya sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga 
terakhir di mana ia telah tersangat lemah dan selalu pingsan. 
 
Tetapi ia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Ia tidak pernah membayar 
zakat kerana ia tidak mempunyai  harta yang cukup nisab. Ia sangat murah hati 
dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang 
memerlukan hinggakan ketika wafatnya ia hanya memiliki 47 dirham wang perak dan 
satu dinar wang emas. Ia tidak meninggalkan harta. 
 
Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa 
Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika 
sakitnya pun ia berpuasa sehinggalah doktor menasihat kannya dengan keras 
supaya berbuka. Lalu ia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, "Aku tak 
tahu bila ajal akan menemuiku". Maka segera ia membayar fidyah. 
 
Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin sangat menunaikan 
haji ke Mekah tetapi ia tidak pernah berkesempatan. Pada tahun kewatannya, 
keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi  tetapi ditakdirkan. Ia sangat 
gemar mendengar bacaan Qur'an. Dalam medan peperangan ia acap kali duduk 
mendegar bacaan Qur'an para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzu' 
semalam. Ia mendengar dengan sepenuh hati dan perhatian sehingga air matanya 
membasahi dagunya. 
 
Ia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw. Ia akan memerintahkan 
orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis 
datang ke bandar, ia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang kadang ia sendiri 
membacakan hadis dengan mata yang berlinang. Dalam peperangan kadang-kadang ia 
berhenti di antara musuh-musuh yang datang untuk mendengarkan hadis-hadis 
dibacakan kepadanya.
 
Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Ia biasa 
meletakkan segala harapan nya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. 
Pada satu ketika ia berada di Jerusalem yang pada masa itu seolah-olah tidak 
dapat bertahan lagi dari pada kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun 
keadaan sangat terdesak ia enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Malam itu 
adalah malam Jumaat musim sejuk. Bahaauddin mencatatkan, "Hanya aku dan 
Salahuddin sahaja pada masa itu. Ia menghabis kan masa malam itu dengan 
bersembahyang dan munajat. 
 
Pada tengah malam saya minta supaya ia berehat tetapi jawanya, "Ku fikir kau 
mengantuk. Pergilah tidur sejenak". Bila hampis subuh akupun bangun dan pergi  
mendapatkannya. Aku dapati ia sedang membasuh tangannya. "Aku tidak tidur 
semalam" katanya. Selepas sembahyang subuh aku berkata kepadanya, "Kau kena 
munajat kepada Allah memohon pertolongan-Nya". Lalu ia bertanya, "Apa yang 
perlu ku lakukan?" 
 
Aku menjawab, Hari ini hari Jumaat. Engkau mandilah sebelum pergi ke masjid 
Aqsa. Keluarkanlah infaq dengan senyap-senyap. Apabila kau tiba di masjid, 
sembahyanglah dua rakaat selepas azan di tempat  Rasulullah saw pernah 
sembahyang sebelum mi'raj dahulu. Aku pernah membaca hadis doa yang dibuat di 
tempat itu adalah mustajab. Oleh itu kau bermunajad-lah kepada Allah dengan 
ucapan "Ya Tuhanku, aku telah kehabisan segala bekalanku. Kini aku mohon 
pertolongan-Mu. Aku menyerahkan diriku kepada-Mu. Aku yakin hanya Engkau  
sahaja yang boleh menolongku dalam  keadaan yang genting ini."
 
Aku mengatakan kepadanya, "Aku sangat berharap Allah akan mengkabulkan doamu". 
Lalu Salahuddin melakukan apa yang ku usulkan. Aku berada di sebelahnya ketika 
dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air  matanya mambasahi janggutnya 
dan menitik ke tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi 
aku melihat tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan 
berlaku di antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa 
hari kemudian. Akhirnya mereka membuka khemah-khemah mereka dan berangkat ke 
Ramla pada hari  Isnin pagi" 
 
Perangai Salahuddin 
 
Siapa yang rapat dengannya mengatakan ia adalah seorang Islam yang taat kepada 
Allah, sangat peka kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar dan tekun. 
Bahauddin bin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan ia 
telah memberikan masa untuk rakyat dua kali seminggu, iaitu pada hari Isnin dan 
Selasa. Pada masa ini ia disertai oleh pembesar-pembesar negara, ulama dan 
kadi. Semua orang boleh berjumpa dengannya. Ia sendiri akan membacakan aduan 
yang diterimanya dan mengucapkan untuk dituliskan oleh juru tulis tindakan yang 
perlu diambil dan  terus ditandatanganinya pada masa itu juga. Ia tidak pernah 
membenarkan orang meninggalkannya selagi ia belum menyempurnakan hajat orang 
itu. Dalam masa yang sama ia sentiasa bertasbih kepada Allah. 
 
Jika ada orang membuat aduan, ia akan mendegarkan dengan teliti dan kemudian 
memberikan keputusannya. Sauatu hari seorang lelaki telah membuat aduan 
berkenaan Taqiuddin, anak saudaranya sendiri. Dengan  segera ia memanggil anak 
saudaranya itu dan meminta penjelasan. Dalam ketika yang lain ada orang yang 
membuat tuduhan kepada Salahuddin sendiri. Yang memerlukan penyiasatan. 
Walaupun tuduhan orang itu didapati tidak berasas, ia telah menghadiahkan orang 
itu sehelai jubah dan beberapa pemberian yang lain. 
 
Ia adalah seorang yang mulia dan baik hati, lemah lembut, penyabar dan sangat 
benci kepada ketidak adilan. Ia sentiasa mengabaikan kesilapan-kesilapan 
pembantu-pembantu dan khadam-khadamnya. Jika mereka  melakukan kesilapan yang 
memanaskan hatinya, ia tidak pernah menyebabkan kemarahannya menjatuhkan air 
muka mereka. Pada suatu ketika ia pernah meminta air minum, tetapi entah apa 
sebabnya air itu tidak diberikan kepadanya. Ia meminta sehingga lima kali lalu 
berkata, "Aku hampir mati kehausan". Ia kemudian meminum air yang dibawakan 
kepadanya tanpa menunjukkan kemarahan. 
 
Dalam ketika yang lain ia hendak mandi selepas mengalami sakit yang agak lama. 
Didapatinya air yang disediakan agak panas, lalu ia meminta air sejuk. Sebanyak 
dua kali khadamnya menyebabkan air sejuk  terpercik kepadanya. Disebabkan ia 
belum benar-benar sihat, ia merasa kesejukan tetapi ia hanya berkata kepada 
khadamnya, "Katakan sajalah kalau kau tak suka kepadaku". Lalu khadam itu 
cepat-cepat minta maaf dan  Salahuddin terus memaafkannya. 
 
Bahauddin juga telah mencatatkan beberapa peristiwa yang menunjukkan sifat 
pemurah dan baik hati Salahuddin. Kadang-kadang kawasan yang baru ditawannya 
pun diberikannya kepada pengikutnya. Satu ketika ia telah berjaya menawan 
bandar 'Amad. Lalu seorang perwira tentera, Qurrah Arslan, menyatakan 
keinginannya untuk memerintah bandar itu. Dengan  senang hati ia memberikannya. 
Bahkan dalam beberapa ketika ia menjualkan hartanya semata-mata untuk membeli 
hadiah. Melihat betapa pemurahnya Salahuddin, bendaharinya selalu merahsiakan 
baki wang simpanan untuk digunakan semasa kecemasan. 
 
Jika ia tahu, ia akan menyedekahkan khazanah negara sehingga habis. Salahuddin 
pernah mengatakan ada orang baginya wang dan debu sama sahaja. "Aku tahu", kata 
Bahauddin, "Ia mengatakan dirinya". Salahuddin tidak pernah membiarkan 
tetamunya meninggalkannya  tanpa hadiah atau sebarang bentuk pemberian tanda 
penghargaan, walaupun tamunya itu seorang kafir. Raja Saida pernah melawat 
Salahuddin dan ia menyambutnya dengan tangat terbuka, melayannya dengan hormat 
dan mengambil kesempatan menerangkan Islam. Bahkan Salahuddin sentiasa 
mengirimkan ais dan buah-buahan kepada Richard the Lion, musuh ketatnya, ketika 
Raja  inggeris itu sakit. 
 
Hatinya memang sangat lembut hingga ia sangat mudah terkesan apabila melihat 
orang dalam kesusahan dan kesedihan. Suatu hari seorang perempuan Kristian 
datang mengadu kehilangan bayinya. Perempuan itu  menangis dan meraung di depan 
Salahuddin sambil menceritakan bayinya dicuri dari khemahnya. Perempuan itu 
seterusnya mengatakan ia telah dimaklumkan hanya Salahuddin sahaja yang boleh 
mendapatkan bayi itu kembali. Hatinya tersentuh mendengar cerita perempuan itu 
lalu iapun turut menangis. Ia segera memerintahkan pegawai-pegawainya mencari 
bayi itu di pasar hamba-sahaya. Tidak lama kemudian bayi itu telah dapat dibawa 
kembali lalu dengan rasa gembira mendoakan kesejahteraan Salahuddin. 
 
Bahauddin juga mencatatkan Salahuddin sangat kasihan belas kepada anak-anak 
yatim. Bila ia terjumpa anak-anak yatim ia akan menguruskan supaya ada orang 
menjadi penjaga anak itu. Kadang-kadang ia sendiri yang akan menjaga dan 
membesarkan anak yatim yang ditemuinya. Ia juga sangat kasihan melihat orang 
tua atau yang kurang upaya dan akan memberikan penjagaan yang khas kepada 
mereka apabila ia bertemu dengan orang sedemikian.
 
Kesungguhan dan Semangat 
 
Ketika mengepung bandar Acre, Bahauddin mencatatkan bahawa Salahuddin mengidap 
sakit berat yang menyebabkan beliau sangat susah untuk bangun. Meskipun 
demikian, ia keluar menunggang kudanya untuk memeriksa angkatan tenteranya. 
Bahauddin bertanya kepadanya bagaimana ia boleh menahan sakitnya. Maka 
Salahuddin menjawab, "Penyakit akan meninggalkanku  apabila kamu menunggang 
kuda". 
 
Dalam ketika yang lain ia sebenarnya dalam keadaan yang lemah akibat sakit 
tetapi pergi memburu musuh sepanjang malam. "Apabila ia sakit", kata Bahauddin, 
Aku dan doktor akan bersamanya sepanjang malam. Ia  tidak dapat tidur akibat 
menahan sakit, tetapi apabila pagi menjelang, ia akan menunggang kuda untuk 
melawan musuh. Ia menghantar anak-anaknya ke medan perang sebelum memerintahkan 
orang lain berbuat demikian. Aku dan doktornya bersamanya sepanjang hari 
menunggang kuda sehinggalah musuh berundur apabila senja menjelang. Ia hanya 
akan kembali ke khemah  selepas memberikan arahan untuk kawalan keselamatan 
pada waktu malam". 
 
Dalam kesungguhan, semangat dan ketahanan rasanya tiada siapa yang boleh 
menandingi Salahuddin. Kadang-kadang ia sediri pergi ke kawasan perkhemahan 
tentera musuh bersama perisik-perisiknya sekali bahkan dua  kali sehari. Ketika 
berperang ia sendiri akan pergi merempun celah-celah tentera musuh yang sedang 
mara. Ia sentiasa mengadakan pemeriksaan ke atas setiap tenteranya dan 
memberikan arahan kepada panglima-panglima tenteranya. Bahauddin ada 
mencatatkan satu kisah yang menunjukkan betama beraninya Salahuddin. Salahuddin 
diberitahu bahawa ia selalu mendengar  bacaan hadis pada masa lapang bukannya 
ketika perang. Apabila mendengar perakara ini ia segera mengarahkan supaya 
hadis-hadis dibacakan kepadanya ketika peperangan sedang berkecamuk dengan 
sengitnya. 
 
Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang datang untuk 
menentangnya. Dalam bebeerapa ketika, tentera Salib berjumah sehingga 600,000 
orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan  tentera yang jauh lebih sedikit. 
Berkat pertolongan Allah ia menang, membunuh ramai musuh dan membawa ramai 
tawanan. Ketika mengepung Acre, pada satu petang lebih dari 70 kapal tentera 
musuh beserta senjata berat mendarat pada satu petang. 
 
Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali  Salahuddin. Dalam satu 
peperangan yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran 
dari musuh telah menyebabkan tentera Islam kalang kabut. Tentera musuh telah 
merempuh khemah-khemat tentera Islam bahkan telah sampai ke khamah Salahuddin 
dan mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya 
mengatur tenteranya  kembali sehingga ia berjaya membalikkan kekalahan menjadi 
kemenangan. Musuh telah kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang 
7,000 mayat-mayat. 
 
Bahauddin ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suatu hari 
Salahuddin pernah berkata kepadanya, "Aku hendak beri tahu padamu apa yang ada 
dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan seluruh  tanah suci ini di bawah 
kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, 
kuberikan arahan-arahanku yang terakhir  lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku 
akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah. Aku tak akan 
meletakkan senjata ku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi atau 
jika ajalku sampai.
 
Salahuddin sebagai ulama 
 
Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Ia juga mengetahui 
setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat mereka. Bahkan ia mengetahui 
sifat-sifat kuda Arab walaupun ia sebenarnya orang Kurd. Ia  sangat gemar 
mengumpulkan pengetahuan dan maklumat dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya 
yang sentiasa berjalan dari satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping 
Qur'an ia juga banyak menghafal syair-syair Arab. 
 
Lane-Poole juga ada menuliskan bahawa Salahuddin berpengetahuan yang dalam dan 
gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad 
dan perawi-perawinya, syariah dan usul figh dan  juga tafsir Qur'an.

No comments:

Post a Comment